Selasa, 19 Oktober 2010
Syabas Kelantan Layak Ke Separuh Akhir
KOTA BHARU – Naib juara Piala Malaysia musim lalu, Kelantan berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir setelah menyingkirkan juara sebanyak 32 kali, Selangor dengan kemenangan 3-0 dalam perlawanan suku akhir kedua TM Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu malam tadi.
Dengan kemenangan malam tadi, Kelantan mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir menerusi kiraan agregat 3-0 setelah perlawanan pertama di Shah Alam pada Selasa lalu terikat seri tanpa jaringan.
Beraksi di hadapan hampir 25,000 penyokong setia Kelantan, skuad kendalian B Sathianathan jelas menggunakan kelebihan beraksi di halaman sendiri di samping sokongan ‘pemain ke-12’ iaitu penyokong jelas menjadi tonggak kemenangan Kelantan malam tadi
Seawal minit keempat, Selangor mula mengacah ke pintu gol Kelantan. Pemain tengah, Shafiq Rahim yang berjaya merebut bola daripada salah seorang pertahanan Kelantan, sempat melorongkan bola kepada Ketua Pasukan, Mohd Amri Yahyah namun rembatan terus ke dakapan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
Selang seminit kemudian, giliran Kelantan pula menguji pintu gol Selangor menerusi rembatan Akmal Rizal Ahmad Rakhli namun sedikit tersasar beberapa inci di sebelah kanan pintu gol.
Stadium Sultan Muhammed Ke-IV bergema dengan sorakan penyokong setia Kelantan apabila Mohd Norfarhan Muhammad menjaringkan gol pertama Kelantan pada m-13. Hantaran lintang Akmal Rizal dari sebelah kanan pintu gol Selangor ditampan kemas Mohd Norfarhan yang terus merembat kencang ke penjuru sebelah kiri menewaskan Mohd Hamsani Ahmad.
Pada m-15, benteng pertahanan pasukan pelawat sekali lagi kelam-kabut apabila hantaran lintang merbahaya Hairuddin Omar terpaksa disepak keluar Mohd Nasriq Baharom. Manakala sepakan percuma Muhd Badhri Radzi seminit selepas itu sempat ditumbuk keluar Mohd Hamsani dalam usahanya mempertahankan pintu golnya daripada dibolosi.
Bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal kembali menggamatkan suasana di stadium pada m-24 apabila berjaya menjaringkan gol menerusi tandukan cantik setelah menerima umpanan rendah Ketua Pasukan, Indra Putra Mahayuddin.
Selang seminit selepas itu, Kelantan terlepas menambahkan jaringan apabila rembatan Indra Putra ditepis Mohd Hamsani yang menyaksikan bola terkena tiang gol selepas itu.
Selangor turut berpeluang merapatkan jurang pada m-35 apabila hantaran lintang D Surendran ditampan Shafiq Rahim namun rembatan beliau tersasar melangkaui pintu gol Kelantan.
Awal babak kedua, pasukan pelawat dilihat kembali menguasai corak permainan menerusi rangkaian bahagian tengah diketuai Mohd Amri sementara aksi pemain Kelantan sedikit tenggelam seakan berpuas hati dengan defisit dua gol itu.
Namun, penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi wajar diberi pujian kerana menyelamat sekurang-kurangnya lima percubaan merbahaya pemain Selangor pada separuh masa kedua.
Tertekan untuk mendapatkan gol, jurulatih Selangor, K E Devan memasukkan serentak dua pemain penyerang iaitu Farderin Kadir dan Rudie Ramli bagi memperkuatkan jentera serangan mereka.
Pada m-59, penyerang Selangor, R Surendran menggigit jari apabila rembatan jarak dekatnya ditepis Khairul Fahmi manakala selang dua minit kemudian, percubaan pemain gantian, Farderin Kadir juga turut diselamatkan Khairul Fahmi.
Kem pasukan Selangor sekali lagi hampa apabila rembatan pemain tengah, Mohd Hardi Jaafar pada m-61 dinafikan oleh Khairul Fahmi sekali lagi.
Dua percubaan pasukan Selangor masing-masing pada m-69 dan 78 menerusi Mohd Amri dan R Surendran juga mudah dipatahkan oleh Khairul Fahmi.
Pada ketika pasukan pelawat rancak melancarkan serangan bertali arus, pemain tengah Kelantan, Muhd Badhri akhirnya menghukum kelalaian benteng pertahanan Selangor menerusi gol ketiga pada m-79 yang akhirnya membunuh semangat juang pemain Selangor.
Segalanya terhasil apabila Akmal Rizal bijak melakukan hantaran jauh dari sebelah kanan padang dan Muhd Badhri yang tanpa dikawal mudah melepasi kawalan Khairul Anuar Baharum dan merembat kencang menewaskan Mohd Hamsani buat kali ketiga.
Kelebihan tiga gol sehingga penghujung perlawanan menyaksikan percaturan taktikal B Sathianathan menukar corak permainan secara bertahan dengan memasukkan Khairan Eroza Razali pada ketika K E Devan kian tertekan angkara aksi longlai Gergasi Merah Kuning yang mudah dimalukan di Kota Bharu.
Percubaan pemain gantian, Mohd Nizab Ayub pada minit-minit akhir perlawanan yang jauh tersasar menutup tirai aksi cemerlang Kelantan malam tadi mengesahkan tempat ke separuh akhir manakala Selangor sekali lagi kempunan untuk merasai nikmat menjulang piala paling berprestij di negara ini setelah ditunjukkan jalan keluar di peringkat suku akhir buat kali kedua berturut-turut.
Sokong Bia Bijok , Napok Bijok , Betindok Bijok , Main Bijok , Bijok Sokmo...... Gomo Kelate Gomo
Petikan dari sinar harian.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan